Wednesday, February 3, 2010

Ketandusan Delta Sungai Nil

Pakar-pakar menjangkakan kawasan seluas 20,000 hektar berhampiran perairan Alexandria, di Mesir bakal ditenggelami air pada 2025 sekali gus mengakibatkan ramai penduduk negara itu hilang sumber makanan, pekerjaan dan kediaman.


DELTA Nil di Mesir yang sebelum ini subur dengan aktiviti pertanian telah bertukar menjadi tanah tandus dan terbiar akibat peningkatan air laut.

Situasi itu memaksa kebanyakan petani menjual tanah mereka bagi menampung perbelanjaan mengimport pasir bagi menangani perubahan itu.

Pakar-pakar telah menjangkakan pemanasan global akan mencepatkan kesan kepada delta terutama sumber pertanian, pelancongan, perpindahan masyarakat setempat dan perubahan kepada ekosistem.

Menurut pakar, laut Mediterranean telah mengalami peningkatan paras pantai di Delta Nil sebanyak 0.2 meter dan mengakibatkan kemasukan air laut di kawasan setempat.

Berdasarkan kajian yang dilakukan kerajaan Mesir di pantai Alexandria yang merupakan bandar kedua terbesar di negara itu, dijangkakan peningkatan air laut akan terus berlanjutan dan bakal menyebabkan banjir besar yang akan menenggelamkan kawasan tanah.

"Peningkatan sebanyak 0.3 meter dari paras laut di perairan Alexandria, Mesir dijangkakan berlaku pada 2025 dan akan menyebabkan kawasan seluas 20,000 hektar akan ditelenggami air.

"Kesannya, lebih setengah juta penduduk akan hilang kediaman dan mengakibatkan 70,000 orang hilang pekerjaan," kata kajian itu lagi.

Walaupun kemusnahan lingkungan Delta Nil tidak menjadi perkara utama kerajaan Mesir ketika ini, namun pakar berpendapat ia akan mencetuskan isu kekurangan makanan global yang mengakibatkan penduduk setempat menjadi pelarian iklim jika situasi makin buruk pada penghujung abad ini.

Delta tersebut pada masa ini menghasikan sepertiga dari 80 juta produk tanaman untuk rakyat Mesir dan sebahagian besar hasil tanaman dieksport ke luar negara.

Perubahan itu memaksa petani di kawasan terbabit meninggalkan tanah mereka, sementara yang masih bertahan berusaha menambak pasir di sekitar kawasan tanaman bagi mengelak ia ditenggelami air masin.

"Kami telah membeli pasir untuk menyesuaikan tanaman dengan tanah tetapi banyak wang terpaksa dihabiskan," kata seorang petani, ElSayed Saad.

"Hidup kini sukar," kata Saad yang seperti para petani lain terpaksa mengulangi prosedur tersebut setiap sedekad untuk kekal produktif, walaupun ia tidak memberi jaminan kepada mereka.


waktu senja yie, amin n aku(snap pic) di pinggir sungai nil....
dkt rumah kami je...

Sementara itu, syarikat kejuruteraan yang menjalankan projek air bawah tanah terpaksa mencari lebih banyak penyelesaian jangka panjang.

Mamduh Hamzah, dari Hamzah Associates mencadangkan supaya membina dinding penghalang yang kalis air bagi memisahkan laut daripada daratan dan meningkatkan tebing pantai setinggi dua meter.

"Dinding ini akan berfungsi sebagai penghalang banjir dan penyusupan air ke bawah tanah," katanya.

Projek itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa pada 2007 tetapi masih belum diluluskan kerana dikhuatiri akan menjejaskan kawasan perairan pelancongan di kawasan pantai laut Mediterranean.

Ada pendapat menyatakan, Mesir seperti negara-negara membangun yang lain menderita akibat kepesatan industri yang berpunca dari negara-negara Barat.

"Mesir hanya bertanggungjawab kepada 0.6 peratus daripada pemanasan global," ujar Mohammed al-Raey dari Pusat Respons Bencana Wilayah.

Perubahan iklim

Raey dan pakar-pakar lain percaya peningkatan paras air laut bukan sahaja mengganggu kesuburan Delta Nil malah mengubah kualiti tanah disebabkan air laut menyerap masuk ke dalam tanah.

"Perubahan iklim yang mendadak ini menimbulkan masalah kepada keselamatan makanan dan gangguan kepada sistem sosial," katanya.

Situasi itu akan mengakibatkan penduduk setempat yang terjejas terpaksa berpindah-randah, sekali gus meningkatkan masalah pengangguran di kawasan-kawasan lain di mana akhirnya menimbulkan masalah keselamatan awam.

"Ini akan diambil kira sebagai keselamatan negara," jelas Raey yang percaya pertanian di Delta harus diubahsuai bagi menghadapi perubahan cuaca yang mendadak.

"Sebagai contoh jika ada kawasan yang mengalami banjir, kita boleh mengubahsuainya kepada kawasan perikanan. Kawasan yang lain boleh dilindungi dengan projek pengasingan air laut dan daratan dengan pembinaan dinding," katanya.

Agensi Hal Persekitaran Mesir juga percaya bahawa peningkatan air laut akan memberi kesan kepada produktiviti pertanian dan perikanan yang akan menjejaskan sumber makanan di negara itu.

Ekosistem di Sungai Nil yang terpelihara sejak tamadun manusia wujud berabad yang lalu kini terjejas dalam tempoh enam dekad kebelakangan ini berikutan pembinaan Empangan Tinggi di selatan, bandar Aswan.

Projek gergasi itu dilihat berjaya mengawal situasi buruk yang berlaku akibat banjir tahunan di Sungai Nil tetapi pada masa yang sama ia juga mengakibatkan tanah-tanahnya kehilangan nutrien penting dan mineral.

*sumber tulisan -KOSMO 3 Februari 2010

*sumber gambar -sony aku n search google....wakaka...